Jika motif peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj adalah hanya untuk urusan peribadi antara Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam dengan Tuhannya, nescaya perjalanan boleh berlaku secara langsung dari al-Masjid al-Haram di Mekah ke Sidrah al-Muntaha, tanpa perlu ‘transit’ di al-Masjid al-Aqsa di Palestin. Akan tetapi, persinggahan di bumi Palestin pada kejadian luar biasa berkenaan, mempunyai signifikasi yang perlu hidup hingga ke akhir zaman, sebagai kelangsungan nilai Palestin sebelum-sebelumnya.
Allah bukan sahaja menyebut tentang al-Masjid al-Aqsa, tetapi mengiringinya dengan karakter khusus bahawa lokasi di mana masjid itu berada, persekitarannya adalah persekitaran yang diberkati. Kawasan persekitaran itu umumnya diertikan oleh para ulama’ zaman berzaman sebagai merujuk kepada kawasan yang dikenali di zaman Wahyu sebagai Syam, merangkumi daerah-daerah di negeri Palestin, Syria, Jordan, Lubnan dan sekitarnya.
Hubungan di antara al-Masjid al-Haram dengan al-Masjid al-Aqsa itu penting.
Kepentingannya boleh difahami, dengan menjejak sebutan keberkatan bumi Palestin yang diulang-ulang sebanyak enam kali oleh Allah SWT di dalam al-Quran.
6 KALI BARAKAH
Turutan pertama, berdasarkan zaman kejadian (bukan kronologi turun ayat), ialah semasa Allah menyebut tentang hijrah Nabi Ibrahim dan Nabi Lut a.s. ke bumi Palestin.
وَنَجَّيۡنَـٰهُ وَلُوطًا إِلَى ٱلۡأَرۡضِ ٱلَّتِى بَـٰرَكۡنَا فِيہَا لِلۡعَـٰلَمِينَ
Dan Kami selamatkan beliau (Ibrahim) dan Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia. [Al-Anbiya' 21: 71]
Kemudian, Allah menyebutnya sekali lagi semasa mengungkapkan tentang Ibrahim dan zuriatnya Ishaq, penghuni bumi Palestin yang diberkati-Nya.
وَبَشَّرۡنَـٰهُ بِإِسۡحَـٰقَ نَبِيًّ۬ا مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
وَبَـٰرَكۡنَا عَلَيۡهِ وَعَلَىٰٓ إِسۡحَـٰقَۚ وَمِن ذُرِّيَّتِهِمَا مُحۡسِنٌ۬ وَظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ مُبِينٌ۬
Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh. Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri. [al-Saaffaat 37: 112-113]
Ia dituruti pula dengan pengkisahan Allah SWT tentang Musa yang bersama Bani Israel, mendatangi bumi Palestin yang Allah berkati.
وَأَوۡرَثۡنَا ٱلۡقَوۡمَ ٱلَّذِينَ كَانُواْ يُسۡتَضۡعَفُونَ مَشَـٰرِقَ ٱلۡأَرۡضِ وَمَغَـٰرِبَهَا ٱلَّتِى بَـٰرَكۡنَا فِيہَاۖ وَتَمَّتۡ كَلِمَتُ رَبِّكَ ٱلۡحُسۡنَىٰ عَلَىٰ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ بِمَا صَبَرُواْۖ وَدَمَّرۡنَا مَا كَانَ يَصۡنَعُ فِرۡعَوۡنُ وَقَوۡمُهُ ۥ وَمَا ڪَانُواْ يَعۡرِشُونَ
Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi) [al-A'raf 7: 137]
Sekali lagi, Allah mengulang sebut tentang Palestin yang Dia berkata, di era pemerintahan Nabi Sulaiman ‘alayhi al-Salam.
وَلِسُلَيۡمَـٰنَ ٱلرِّيحَ عَاصِفَةً۬ تَجۡرِى بِأَمۡرِهِۦۤ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ ٱلَّتِى بَـٰرَكۡنَا فِيہَاۚ وَڪُنَّا بِكُلِّ شَىۡءٍ عَـٰلِمِينَ
Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [al-Anbiya' 21: 81]
Di zaman pemerintahan Sulaiman, Palestin itu berada di bawah pentadbiran baginda. Manakala wilayah Hijaz, tempat terletaknya al-Masjid al-Haram, adalah wilayah di bawah pemerintahan seorang ratu yang tidak beriman dengan Allah, dikenali sebagai Ratu Saba’. Apabila Ratu Saba’ menerima dakwah Sulaiman dan seterusnya membawa pemerintahannya kepada Tauhid, Mekah dan Palestin bersatu kembali.
Daerah itu menjadi daerah yang aman.
Pada rentetan kejadian itu, Allah mengulang sebut Palestin sebagai bumi yang diberkati.
وَجَعَلۡنَا بَيۡنَہُمۡ وَبَيۡنَ ٱلۡقُرَى ٱلَّتِى بَـٰرَڪۡنَا فِيہَا قُرً۬ى ظَـٰهِرَةً۬ وَقَدَّرۡنَا فِيہَا ٱلسَّيۡرَۖ سِيرُواْ فِيہَا لَيَالِىَ وَأَيَّامًا ءَامِنِينَ
Dan di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu) dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman. [Saba' 34: 18]
Al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa itu dalam suasana kuatnya Tauhid dalam pegangan ummah, ia bersatu. Ketika agama jadi celaru, Syirik dan Jahiliah menguasai kehidupan, dua daerah yang mulia itu terpisah.
Kali keenam, Allah menyebut tentang hubungan di antara al-Masjid al-Haram dengan al-Masjid al-Aqsa di Palestin, sekali lagi sebagai bumi yang diberkati, yakni di dalam peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj.
سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُ ۥ لِنُرِيَهُ ۥ مِنۡ ءَايَـٰتِنَآۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari al-Masjid al-Haram (di Mekah) ke al-Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [al-Isra' 17: 1]
DIMENSI KEBERKATAN PALESTIN
Keberkatan Palestin itu ada yang dipandang dari sudut suburnya ia sebagai tanah pertanian. Sudah tentu tanaman utamanya adalah buah Tin dan buah Zaitun. Ketika mana Allah SWT bersumpah dengan buah Tin dan buah Zaitun di dalam surah al-Tin, Ibn Kathir menukilkan pendapat Ka’ab al-Ahbar bahawa yang dimaksudkan dengan buah Tin itu sebagai metafora kepada Masjid di Dimashq manakala zaitun adalah Masjid di Palestin.
Ada yang memandang keberkatan Palestin itu pada sejarahnya bahawa semua Nabi dan Rasul yang kita ketahui, jika tidak bermastautin di Palestin sekali pun, mereka pernah menziarahinya, termasuk Nabi Muhammad SAW di dalam peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj.
Bumi itu juga dipandang keberkatannya, pada makmurnya ialah dengan para sarjana Islam zaman berzaman. Abu ‘Abdillah Muhammad ibn Idris al-Shafi’e (767 — 820 CE / 150 — 204 AH) juga merupakan anak kelahiran Gaza di Palestin.
Namun, setiap kali Allah menyebut tentang keberkatan Palestin, Allah menyebutnya dalam konteks pemerintahan oleh para Nabi dan Rasul. Keberkatan Palestin itu juga kelihatan pada siyadah atau kedaulatannya di sepanjang sejarah yang dicatat oleh manusia. Pada satu-satu masa, kuasa yang memerintah Palestin, ketika itulah ia menjadi kuasa besar, bukan setakat di rantau persekitaran malah menjadi kuasa besar dunia.
Bukan sahaja di era pra Islam, apabila Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu memasukkan Palestin ke wilayah Islam pada tahun 16H, eranya menjadikan Islam bukan lagi sekadar kuasa politik Semenanjung Tanah Arab, sebaliknya menjadi kuasa besar dunia yang menumbangkan Empayar Parsi yang berdiri zaman berzaman.
Satu kuasa demi kuasa memerintah Palestin.
Ada yang memerintah dengan adil.
Ada yang memerintah secara zalim dan penindasan.
Bergilir-gilir antara kuatnya pengaruh Tauhid, dengan besarnya gelombang Riddah dan Syirik.
Selepas Palestin beralih tangan daripada Dawlah Uthmaniyyah yang mentadbirnya semenjak tahun 1517 di bawah pemerintahan Sultan Selim I, British mentadbir bumi itu dengan mandat oleh League of Nation, dan akhirnya jatuh ke tangan Yahudi Zionis secara rasminya pada tahun 1948.
Semenjak itu, hingga ke detik ini, Lobi Yahudi Zionis itulah kuasa besar dunia, dengan pelbagai makar mereka di Palestin, dan empat penjuru alam.
TADABBUR SURAH AL-ISRA’
Untuk lebih memahami akan Palestin daripada suluhan al-Quran, marilah kita bertadabbur dengan ayat-ayat al-Quran yang membicarakan tentang Palestin, dalam suasana al-Isra’ wa al-Mi’raj.
Allah menyatakan bahawa kaum Yahudi itu banyak melakukan kerosakan. Namun dalam banyak-banyak kerosakan itu, ada dua kerosakan besar, termaktub di dalam Taurat, dan ditegaskan lagi di dalam al-Quran. Firman-Nya:
وَقَضَيۡنَآ إِلَىٰ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ فِى ٱلۡكِتَـٰبِ لَتُفۡسِدُنَّ فِى ٱلۡأَرۡضِ مَرَّتَيۡنِ وَلَتَعۡلُنَّ عُلُوًّ۬ا ڪَبِيرً۬ا
Dan Kami khabarkan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. [al-Isra' 17: 4]
Ayat ini menimbulkan kemusykilan bagi ilmuwan silam kita pada menentukan apakah maksud dua kerosakan itu. Mungkin ia berpunca daripada zaman tersebut yang mana orang Yahudi berada pada kedudukan sosial yang rendah. Tidak terbayang akan mereka itu sebagai kuasa besar dunia. Dalam persekitaran sebegini, al-Imam al-Tabari mengemukakan pendapat bahawa dua kerosakan besar yang dimaksudkan dengan ayat ini merujuk kepada kerosakan yang pernah dilakukan oleh orang Yahudi pada zaman Islam iaitu kali pertamanya, semasa mereka membunuh Nabi Zakaria alayhi al-Salam, dan kali keduanya, semasa mereka membunuh Nabi Yahya, alayhi al-Salam.
Tafsiran itu disemak kembali oleh ilmuwan semasa, yang menyaksikan kebangkitan Yahudi sebagai kuasa besar dunia.
Sheikh Solah ‘abd al-Fattah al-Khalidi di dalam bukunya al-Haqa’iq al-Qur’aniyyah hawla al-Qadhaya al-Filistiniyyah (Hakikat-hakikat al-Quran Seputar Isu-isu Palestin) berpendapat bahawa kita tidak terikat dengan tafsiran berkenaan, dan dalam masa yang sama sangat menghormati para ilmuwan silam dengan ijtihad mereka. Berdasarkan karakter kerosakan yang disebutkan, bahawa ia terjadi dalam keadaan Yahudi itu bersikap sebagai sebuah kuasa yang angkuh, Sheikh Solah berpendapat kerosakan pertama yang dimaksudkan di dalam ayat berkenaan merujuk kepada kerosakan yang mereka lakukan di zaman Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam.
Kehadiran mereka ke Semenanjung Tanah Arab selepas diusir dari wilayah Greco Roman Civilization, membawa kepada mastautin mereka di Yathrib dan sekitarnya. Mereka melaga-lagakan bangsa Arab yang menghuni wilayah itu agar sentiasa bermusuhan. Selepas hijrah Nabi sallallahu alayhi wa sallam ke Madinah, mereka diberi peluang untuk sama-sama hidup dalam rukun sosial yang sejahtera, namun Yahudi meneruskan tradisi makar mereka melanggar perjanjian demi perjanjian.
Kejahatan pusingan pertama ini tamat, sebagaimana yang Allah ungkapkan dalam ayat yang berikutnya:
فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ أُولَٮٰهُمَا بَعَثۡنَا عَلَيۡڪُمۡ عِبَادً۬ا لَّنَآ أُوْلِى بَأۡسٍ۬ شَدِيدٍ۬ فَجَاسُواْ خِلَـٰلَ ٱلدِّيَارِۚ وَكَانَ وَعۡدً۬ا مَّفۡعُولاً۬
Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. [al-Isra' 17: 5]
Kejahatan itu ditamatkan di Madinah oleh kehadiran Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam dan para sahabat bersama baginda, menumpaskan kaum perosak yang khianat dan melakukan pelbagai konspirasi. Ia disempurnakan pula pada penyingkiran sepenuhnya kaum itu daripada Semenanjung Tanah Arab, pada zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu.
Sabda baginda:
لا يجتمعُ في جزيرةِ العربِ دِينانِ
الراوي: – المحدث: ابن باز – المصدر: مجموع فتاوى ابن باز – الصفحة أو الرقم: 285/3
خلاصة حكم المحدث: صحيح
“Tidak berhimpun di Semenanjung Tanah Arab dua agama”
خلاصة حكم المحدث: صحيح
“Tidak berhimpun di Semenanjung Tanah Arab dua agama”
PUSINGAN KEDUA KEJAHATAN
Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi menegaskan bahawa kita umat Islam pada hari ini hidup di zaman Yahudi melakukan kerosakan kedua. Kerosakan yang berlarutan di akhir zaman. Selepas merempat zaman berzaman, Yahudi bangkit, membentuk kuasa politik mereka dan beroleh Palestin sebagai penempatan haram dengan menekan, menyeksa dan berusaha menghapus sepenuhnya sesiapa sahaja yang berada di perjalanan mereka mencapai cita-cita.
Firman Allah:
ثُمَّ رَدَدۡنَا لَكُمُ ٱلۡڪَرَّةَ عَلَيۡہِمۡ وَأَمۡدَدۡنَـٰكُم بِأَمۡوَٲلٍ۬ وَبَنِينَ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ أَڪۡثَرَ نَفِيرًا
Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. [al-Isra' 17: 6]
Hikmahnya besar, pada Allah menyatakan kriteria khusus kepada pusing kedua kejahatan Yahudi ini. Agar kita kenal dan sedar sepenuh sedar bahawa kita hidup di zaman kejadian itu berlangsung. Agar dalam bencana maha besar dalam kerosakan oleh Yahudi pada pusingan kedua ini, kita tidak putus harapan, ada pedoman, dan punya plan untuk bangkit membela.
Allah menyatakan bahawa ketika Yahudi pada pusingan kedua kerosakan mereka, mereka melakukan sebagai sebuah kuasa yang kuat, tetapi kekuatan mereka diperpanjangkan dari luar. Perkataan ( وَأَمۡدَدۡنَـٰكُم) termasuk di dalam lata’if al-Quran, kehalusan pengungkapan makna, bahawa kali ini, Yahudi gagah bukan berbekalkan kekuatan yang ada bersamanya, tetapi kekuatan harta dan anak-pinak (manpower) itu diperpanjangkan dari luar.
- See more at: http://saifulislam.com/2014/05/al-isra-wa-al-miraj-palestin-dalam-suluhan-surah-al-isra/#sthash.AKqMWFak.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan